Potret Abdullah dan Najib Masih Belum Terjual
SUDAH menjadi lumrah tempat perhimpunan agung Umno akan menjadi tumpuan para peniaga dan mereka yang kreatif dan inovatif menghasilkan kerja-kerja seni tangan. Kalau sebelum ini kemunculan buku-buku politik secara mendadak menjadi tarikan pengunjung ke perhimpunan itu namun fenomena itu sudah berkurangan sejak ke belakangan ini.
Larangan keras oleh pihak pengurusan bangunan PWTC menyebabkan penulis bukan tidak geram untuk menulis dan menjual buku-buku terbitan segera mereka di perhimpunan itu. Bagaimana pun penulis veteran perhimpunan agung Umno, Syed Hussein Alattas masih meneruskan tradisinya menjual buku di perhimpunan Umno kali ke-58 itu.
Antara berbagai-bagai jenis barangan yang dijual dan menampilkan kreativiti masing-masing, kali ini muncul kreativiti baru dalam lukisan potret yang dihasilkan secara airbrush, iaini semburan.Walaupun teknik ini sudah lama, tetapi potret pemimpin yang dilakarkan menggunakan teknik ini belum muncul di perhimpunan agung Umno sebelum ini.
Bertempat di pinggir hotel berhampiran tempat perhimpunan itu terdapat sebaris lukisan potret airbrush para pemimpin Umno yang bersaiz besar di sidai untuk dijual. Kualiti lukisan itu sungguh menakjubkan dan harganya juga dikira tinggi, di mana tiap satu mencecah antara RM35,000 hingga RM50,000.
Kemunculan potret gergasi itu menarik perhatian mereka yang lalu lalang di situ.
Antara potret pemimpin yang dibentangkan untuk dijual termasuk Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya, Najib Razak.
Lain-lain ialah potret bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein, Hussein Onn, Rais Yatim, Sharizat Jalil, Idris Jusoh, Mahadzir Khalid dan lain-lain. Potret bekas PM ke empat Dr Mahathir Mohamad bagaimana pun tidak pula kelihatan.
Lukisan potret itu adalah hasil kerja tangan seniman / pelukis bernama Maslan Said, Pakar (Master) Airbrush artist.
Wajah Perdana Menteri berbaju biru mengatasi lain-lain potret pemimpin dengan harga RM50,000 diikuti dengan potret Najib Razak, RM35,000.
Menurut seorang jurujual perempuan, sehingga jam 7:00 malam ini hanya dua potret sahaja yang sudah ditempah iaitu potret Idris Jusoh dan potret Mahadzir Khalid masing-masing bernilai RM35,000.
Potret Abdullah Ahmad Badawi, potret Najib Razak dan lain-lain masih belum ditempah atau pun terjual.
Potret Najib Razak terdapat dalam dua saiz satu dalam saiz gergasi berharga RM35,000 dan satu lagi saiz sedarhana bernilai RM18,000. Kedua-dua potret itu masih belum ditempah.
Mungkin potret itu termasuk potret Perdana Menteri dan timbalanya akan dibeli disaat akhir setelah diadakan lelongan ataupun potongan harga yang gila-gila di hari akhir perhimpunan. [pwtc. 7:00 07/11/07]
No comments:
Post a Comment