DARI semalam lagi saya terfikir mengenai hari ini, Sabtu. Apa yang tersendak dalam kepala ialah mengenai pemakian baju berwarna kuning sebagai menyahut seruan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih). Bersih menganjurkan orang ramai supaya pakai baju warna kuning setiap Sabtu sebagai simbolik mendesak kerajaan supaya membersihkan pilihan raya yang comot dan kotor.
Jadi pagi-pagi tadi selepas sembahyang Subuh ketika bersiap sedia untuk jongging, saya tersilau kepada baju warna kuning yang disediakan isteri sejak dari malam tadi apabila saya minta siapkan baju kuning. Niat nak pakai, dan biar orang yang sama-sama jongging di taman di belakang rumah tengok.
Dalam pada itu juga terfikir akan kehebatan dan kemegahan warna kuning. Warna kuning adalah warna emas warna rasmi raja. Raja suka warna kuning. Setidak-tidaknya bila pakai baju warna kuning ia menunjukkan rakyat senang dan menghormati kepada raja.
Tiba-tiba niat itu tetarik balik bila terkenangkan berita semalam. Kononnya Yang di-Pertuan Agong dukacita dan menafikan yang baginda memberi perkenan pada bila-bila masa terhadap himpunan 100,000 pada Sabtu minggu lepas.
Bukan main lagi kenyataan dibuat oleh Datuk Pengelola Istana Negara, Datuk Bijaya Wan Mohd Safiain Wan Hasan, kononnya atas kehendak Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin. Jadi bila terkenangkan itu, niat untuk pakai baju warna diraja, (kuning) tidak jadi.
Kalau orang sudah 'murka' dan tidak berkenan untuk apa dicari fasal? Tidak guna hidup menjadi hidung tidak mancung, tetapi pipi pula tersorong-sorong. Kita ada maruah dan prinsip diri sebagai manusia dan makhluk Allah. Hidup tidak perlu kepada sanjungan dan terima kasih orang. Yang penting apa yang kita buat kita tahu!
Selama ini pun saya jarang-jarang pakai baju warna kuning. Bagi saya warna tidak menjadi suatu pilihan dan memberi makna tersendiri. Dalam hidup saya, kalau ditanya apakah warna menjadi pilihan ialah warna dasar, putih dan hitam.
Warna-warna jelmaan yang baru, baik biru atau hijau tidak penting sebab semuanya bercampur dengan unsur-unsur baik dan material.
Bagi saya tidak mengapa kalau tidak pakai baju warna kuning. Biarlah simbol itu tidak ditonjolkan. Apa yang penting sesuatu yang kotor itu perlu dibersihkan. Hakikat itu kena terima. Bagaimana sekalipun kekotoran itu diselindungi, namun kalau ia kotor hakikatnya kotor juga.
Gunalah apa saja kuasa untuk melindungi kekotoran dan kebatilan itu ia tidak akan kekal lama. Lama kelamaan ia akan terbongkar juga. Saya cukup yakin kepada kata-kata kebenaran itu akan mengatasi kebatilan. Masalahnya, kebenaran itu biasanya jauh berada di hujung terowong.
Percayalah tanpa pakai warna kuning pun, kita tetap akan menentang sesuatu yang tidak bersih. Apa yang boleh diharap daripada warna kuning. Dan bagi saya, saya tidak percaya kalau warna kuning dapat memberi sesuatu yang diharapkan. Warna kuning mempunyai kuasa magik (keramat) yang boleh mengubahkan kuasa di zaman moden ini.
Soal tidak bersih ini bukan saja dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi dalam badan-badan atau bekas-bekas lain juga termasuk 'bekas' kita sendiri. Jadi disamping kita peduli kepada bekas umum, kita juga kena peduli kepada bekas kita sendiri.
Di dalam hati manusia itu ada satu ruang yang dinamakan oleh para aribillah sebagai istana Iblis, jadi istana itulah yang tiap daripada kita harus dibersihkan dulu. Cara hendak membersihkannya ialah dengan berzikir. Tetapi kalau tasbeh sebesar lutut bergantung saja ditangan nak tunjukkan alim, tidak guna juga.
Harapnya dengan penjelasan Wan Mohd Safiain itu janganlah kita cuba mengaitakan lagi nama dan batang tubuh Yang di-Pertuan Agong lagi. Juga pihak yang terdesak dengan himpunan 100,000 itu janganlah mengait atau berselindung di sebalik batang tubuh YAng di-Pertuan Agong. Janganlah sangat mengharapkan warna kuning membantu kita. Marilah kita berhadapan secara mendada tanpa ada naungan atau maunah daripada mana-mana orang mulia. Guna kekuatan dan keyakinan sendiri!
Mengenai penafian (penjelasan) dibuat Datuk Pengelola Istana Negara itu kita sudah faham duduk dan letak perkara sebenarnya. Dan kita juga sudah tahu mengenai tugas-tugas orang besar dalam istana seperti mana digambarkan oleh Seniman Agung lagi "wali" P Ramlee di dalam filem Musang Berjanggut.
Datuk Ahli Nunjum, Datuk Nikah Kahwin, Datuk Mangkubumi, dan banyak jenis lagi datuk sebenarnya masih wujud dan masih tinggal di dalam istana raja-raja Melayu smapai ke hari ini. Semua mereka memainkan peranan penting dan mempunyai kepentingan dan naluri tersendiri sehingga sanggup yang menjadi Musang Berjanggut kerana tergila-gilakan menantu raja! [wm.kl 9:45 am 17/11/07]
No comments:
Post a Comment