Friday, November 2, 2007

Catatan Dilewatkan

Redup dan Nyamannya Bayangan Tok Guruku.

MSO

MALAM Khamis lalu sekitar jam 8. 55 malam (1 November) tanpa dirancang saya telah berjumpa dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz di rumah Kelantan di Jalan Colay tidak jauh dari bangunan KLCC. Kebetulan saya ke situ untuk menemui seseorang. Apabila menjenguk masuk beliau duduk bersendirian dikerusi sedang menelaah sebuah kitab.


Beliau baru lepas solat Isyak, pakai kain sarung dan baju Melayu lusuh be
rwarna kuning dan kupiah nipis yang tertunggeng di kepalanya. Sambil menelaah kitab beliau menanti seseorang membawa nasi untuknya. Mungkin beliau mengira saya datang khusus untuk mengunjunginya.

Seperti biasa bila bersalam, walaupun niat tidak untuk duduk lama bersamanya (kerana ada urusan lain), tetapi aura dan kewangian Tok Guru telah menambat langkah untuk bangkit.

Sekejap kemudian orang yang membawa nasi bungkus sampai. "Sebungkus saja?" tanya beliau bermaksud mahu mengajak saya makan bersama. "Silakan Tok Guru makan, ana tak pa!" balas saya. Mulanya mahu minta diri untuk berundur, tetapi mengenangkan tidak molek meninggalkan beliau yang sedang makan, saya menanti di kerusi.

Kira-kira 15 minit beliau makan, beliau kembali ke kerusi semula. Cara dia duduk, dan pelawa menghirup air tea 'O' yang disediakan pembantu rumah itu menjelaskan beliau mahu saya berlama dengannya.

Tidak tergamak

Menjadi kelaziman berjumpa dengannya, selepas satu, satu cerita dikarai dan dianyam di hadapannya. Menjadi amalan saya sejak lama dulu, bila berhadapan dengan Tok Guru saya tidak suka memberi masalah kepadanya, tetapi suka membawa kegembiraan berjejak di bumi nyata kepadanya. Tidak tergamak untuk saya membawa masalah atau sesuatu yang boleh menganggui ketenangannya untuk mentadbir negeri atau bermunajat kepada Allah.

Pesanan arwah datuk kalau kita mengunjungi ke rumah seseorang jangan bawa masalah kepadanya, tetapi bawalah berita gembira, nescaya dia akan suka dan senang dengan kita. Pesanan itu terpaku dan menjadi azimat saya dalam bersahabat dan 'berguru' dengan Tok Guru.

Sebab itu saya boleh lama dengan Tok Guru. Ada kalanya saya minta dua minit untuk berjumpa dengannya, tetapi bila sudah berada di hadapan, perjumpaan itu akan berlarutan jadi satu jam. Macam-macamlah cerita yang keluar, tetapi tidak pernah menyentuh soal personal sesiapa pun. Selalu saya memberi pandangan apabila beliau bertanya dan meminta pendapat!

Biasanya kalau beliau mahu agar berlamaan dengannya beliau akan tanya; anta lorat (mahu cepat) ke? Dan kalau jawab, tidak, dia akan minta duduklah dulu, ada nak tanya benda sikit, begitu mintanya. Bila begitu saya tidak akan menolak dan akan berbicara dengannya kadang kala mencuri masa orang lain yang banyak ingin berjumpa dengannya.

Malam itu cerita yang sangat disukai mengenai apa yang berlaku di majlis Perlancaraan ECER bila diberitahu majlis itu kurang disenangi oleh Umno kerana pemimpin Umno tidak mendapat political mileage. Umno cukup kecewa kerana majlis itu memberi markah politik kepada Pas Kelantan.

"Bagaimana ante dengar?" begitulah tanya beliau memulakan perbicaraan mengenai majlis Ecer itu.
"Bagus, berjaya. Rakyat suka. Cuma ucapan itu keras sikit Tok Guru, keras!" kata saya.
Tok Guru hanya diam dan tersenyum sahaja. Tidak membalas dan memberi reaksi berlebihan.
"Tapi ucapan itu bagus!" celah saya. "Kalaulah Tok Guru sebut nama Annuar Musa hari itu, lagi bagus Tok Guru, tentu Annuar gembira!" sambung saya entah kenapa tiba-tiba wajah Annuart Musa tergambar ketika itu.

"Mulanya ana nak sebut nama dia. Ana dah tulis (tambah) dengan tangan. Tetapi apabila pengerusi, tidak sebut, ana pun tak sebut jugaklah," jawabnya tersengih.

Beliau nampak sedikit gembira dengan insiden itu namun tidak sampai menunjukkan rasa gembira yang riak atas apa yang berlaku itu. Dia hanya mengulum senyum yang agak lama.

Itulah Tok Guru sedarhana, dia hanya tersengih dan kalau mengilai, suaranya tidak terkekeh macam orang lain. Beliau sangat bertomaninah 'aurat' suaranya.

"Oh... kalau Tok Guru sebut nama dia, (Annuar), ana rasa Annuar akan menangis kerana gembira. Dan Tok Guru juga...."

"Dia memnagis gembira, tetapi orang akan marah ke ana!" tukasnya cepat dan terus tersengeh. Kami sama-sama ketawa, yang kuatnya saya...

Itu antara topik yang menjadi perbualan pada pertemuan tidak terduga itu. Sepeti biasa juga, perbualan dengan beliau bukan berkisar kepada politik, tetapi akan menyentuh soal-soal perjuangan, ilmu, pengalamannya dalam berjihad dan juga masa depan Pas terutamanya selepas beliau.

Malam itu beliau menceritakan bagaimana pendekatan diambil seorang gurunya bernama Naim semasa di India dalam mentarbiahkan muridnya. Gurunya itu mengajar Quran tafsir Quran tanpa menterjemahkan makna bahasa Arab itu tetapi terus mentafsirkannya dengan bahasa harian yang senangi difahami.

Tuhan gedebe

"Jadi ana di dalam menyampai ilmu ini terpengaruh kaedah guru ana itu, sebab itulah cara orang akan cepat faham dan tidak mengelirukan," ujarnya. Katanya disebabkan kaedah itulah maka beliau banyak mengeluar atau menggunakan istilah ataupun perkataan baru supaya mudah difahami orang pendengar di kuliah-kuliahnya yang mana kadang kala menimbulkan kontroversi, seperti istilah berkawan dengan syaitan, Tuhan gedebe dan sebagainya.

Begitu juga beliau selalu memberi istilah dan fahaman baru kepada istilah agama atau ilmu. Sebagai contohnya perkataan atau pengertian kebajikan diganti dengan aktiviti.

"Dalam mengajar ana tidak pakai kebajikan, tetapi guna perkataan aktiviti. Misalnya ana kata, aktiviti tuan puan itulah akan dihisab oleh Allah di akhirat nanti. Maksudnya, kebajikan," jelasnya. Dengan menggunakan cara itu kita tidak bawa orang kepada istilah agama yang klasik yang mana kadang-kadang dirasakan berat oleh orang yang kurang memahami atau baru mendekati Islam.

Perbicara yang bebas itu juga turut terjamah kepada soal politik, mengenai kedudukan Ibrahim Ali di Pasir Mas. "Macam mana dengan kedudukan Datuk Him di Pas Mas, Tok Guru?" cungkil saya. Nampaknya payah untuk beliau menjawab, tetapi memberi isyarat agar hal itu dibincangkan di tempat lain.

Kerana terlalu lama saya merasakan menganggu masa beliau untuk berihat. Beberapa kali saya ingin memohon berundur, tetapi nampak beliau masih berminat untuk berbicara menyebabkan terpaksa tunda. Satu masa baru saya nak memohon untuk berundur, beliau tiba-tiba bertanya apakah saya sudah baca sebuah buku mengenai perjuangan ulama dalam menuntut kemerdekaan.

"Anta dah baca buku mengenai ulama dalam perjuangan kemerdekaan?" tanya beliau. Saya jadi jahil kucing sekejap kerana tidak memiliki buku itu. Dia bangkit menuju ke ruang bilik dapur dan mengambil buku berkenaan dan kembali kepada saya semula. "Tenguk gambar itu, Pak Lah di hadapan datuknya, mana boleh nak nafikan gambar ini. Ayah Pak Lah adalah ahli Pas bombor 8, tenguk dalam buku rekod keahlian ia ditulis dengan tangan," jelasnya bersemangat.

Apa yang beliau hendak ceritakan bahawa ulama adalah antara golongan awal dan utama memperjuangkan kemerdekaan di negara ini. Beliau kesal dengan tanggapan Mahathir Mohamad yang cuba menidakkan peranan ulama dalam perjuangan kemerdekaan. Dan mesejnya juga bahawa Pas ini diakui oleh bapa Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi).

Saya memahami kenapa Tok Guru bersungguh menimbulkan isu itu? Ia bukan sangat untuk cuba menepis dan menolak pandangan serong Mahathir kepada ulama, tetapi apa yang saya kira, beliau ingin menekankan bahawa perjuangan Pas harus bertunjangkan kepada ulama.

Apakah amanat beliau mengenai ini difahami oleh kebanyak orang Pas, sukar untuk ditentukan. Yang pastikan setiap kali bila bercakap soal Pas dan perjuangan itulah yang menjadi topik yang tidak pernah dilupai oleh beliau memperkatakannya.

Jam 11:15 akhirnya pertemuan itu bubar. Sesuatu yang merujakan selepas saya hendak melangkah keluar dari ruang tamu, di rumah itu tiba-tiba Tok Guru berpaling dan mendepani saya semula dengan wajah penuh mengharap. Timbul sedikit suspen.... dan dengan berat mulut beliau menyuarakan sesuatu yang memang saya tunggu-tunggu daripadanya sejak beberapa bulan lalu.

Bisikan itu amat mengharukan dan saya melepaskan rasa haru dan gembira itu dengan memeluk erat dan menciumnya. "Ana hanya dengar apa yang Tok Guru katakan saja. Terima kasih Tok Guru, jangan bimbang... dan doakan ana," balas saya dalam suara mengelam sebak.

Bisikan itu begitu lunak dan indah sekali. Sepanjang perjalanan ke rumah saya merasakan seperti berada dalam sebuah mimpi yang membawa saya ke alam realiti yang pernah saya singgahi bersama seseorang sebelum ini. [wm.kl 8:30 pm 02/11/07]

No comments: